Eksport halal Malaysia disasar cecah RM50 bilion

SOURCE : Berita Harian

TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif (Peningkatan Eksport) MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz. – Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan nilai eksport halal akan mencecah RM50 bilion menjelang akhir tahun ini menerusi langkah mempertingkat aktiviti pemasaran bagi produk halal tempatan di peringkat global.

Bagi merealisasikan hasrat itu, agensi penggalakan perdagangan itu akan turut memanfaatkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-17 yang akan diadakan di sini pada 1 hingga 4 April depan.

Bercakap kepada Bernama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Peningkatan Eksport) MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata Malaysia memiliki banyak kelebihan dalam industri halal itu, khususnya dari segi pensijilan.

Bagaimanapun, katanya, aspek itu tidak harus menjadikan kalangan penggiat industri terlalu selesa.

“Kejayaan Malaysia dalam industri halal telah menjadi motivasi kepada banyak negara lain sama ada negara Muslim dan sebaliknya bagi meneroka prospek halal untuk ekonomi masing-masing.

“Kita perlu mempertingkatkan lagi usaha bagi memastikan bahawa produk halal tempatan kekal relevan di peringkat global kerana masih terdapat pembeli global yang kurang faham maksud produk halal itu,” katanya.

Sehubungan itu, Mustafa melihat MIHAS sebagai satu platform tepat bagi menangani perkara itu kerana dapat mengetengahkan nilai sebenar industri itu kepada pembeli global.

“Halal itu juga bermakna bahawa produk itu adalah berkualiti dan boleh dipercayai – kualiti yang sememangnya dicari oleh pembeli global,” katanya.

Menurutnya, pertambahan bilangan penduduk Muslim di serata dunia dan peningkatan permintaan produk halal oleh kalangan bukan Muslim juga menjadi antara faktor yang mendorong kepada perkembangan pesat industri itu.

“Kalangan pengguna semakin aktif mencari dan membiasakan diri mereka dengan produk serta perkhidmatan halal, termasuk makanan dan minuman, ramuan, produk dan perkhidmatan kesihatan, penjagaan diri, pelancongan serta perkhidmatan kewangan,” katanya.

Menurut Laporan ‘State of the Global Islamic Economy Report 2019/20’ oleh Dinar Standard, kalangan Muslim membelanjakan AS$2.2 trilion pada 2018 iaitu pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus bagi tahun ke tahun.

Angka itu juga dijangka meningkat kepada AS$3.2 trilion menjelang 2024 pada kadar pertumbuhan terkumpul sebanyak 6.2 peratus.

MIHAS yang dianjurkan oleh MATRADE, adalah platform bagi pengeksport Malaysia mengetengahkan jenama halal mereka dan para pengunjung dapat menyaksikan ekosistem halal serba kondusif yang dilaksanakan oleh Malaysia.

“Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia setakat ini yang memiliki ekosistem komprehensif bagi agenda pembangunan industri halal.

“Ini termasuk sistem pensijilan halal, piawaian dan peraturan, infrastruktur, insentif, modal insan dan perbankan Islam dan disokong oleh kerangka kerja institusi kerajaan yang berkesan dan saling berkait bagi membentuk ekosistem halal yang holistik,” katanya.

MIHAS 2020 akan turut memaparkan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang bertumpukan usaha padanan perniagaan-kepada-perniagaan pada 31 Mac ini.

Kali ini, INSP akan membabitkan 400 pembeli asing yang akan dipadankan dengan perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Sejak 16 tahun lalu, INSP MIHAS berjaya menarik sebanyak 4,382 pembeli antarabangsa dari lebih 50 negara yang dipadankan dengan 7,400 syarikat-syarikat Malaysia.

Lebih 54,000 mesyuarat perniagaan turut diatur sejak beberapa tahun lalu yang berjaya menjana nilai eksport melebihi RM17.2 bilion.

Share this:
Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Related Posts

Register As
An Exhibitor

Register As A Trade Visitor

MIHAS Connect will be available by 1st of July 2020